Close sites icon close
Search form

Search for the country site.

Country profile

Country website

Tindakan Bersama UNHCR-Kerajaan Malaysia, menangani jangkitan Covid-19 di kalangan orang pelarian

Stories

Tindakan Bersama UNHCR-Kerajaan Malaysia, menangani jangkitan Covid-19 di kalangan orang pelarian

13 April 2020
Kumpulan bersama membuat jangkauan kepada komuniti orang pelarian tentang pencegahan dan ujian Covid-19

 

Kuala Lumpur, 8 April 2020 – Di ruang pemunggahan barang yang kosong di pasar borong Selayang, Kuala Lumpur, sekumpulan orang pelarian Rohingya telah berkumpul. Kumpulan seramai lebih sedozen itu adalah wakil-wakil komuniti orang pelarian Rohingya di Kawasan itu. Mereka semua memakai topeng muka dan mengamalkan penjarakan sosial sesama sendiri.

Mereka telah berkumpul untuk menghadiri mesyuarat luar biasa dengan UNHCR, Agensi Pelarian PBB, penguatkuasa undang-undang, dan Kementerian Kesihatan untuk membincangkan isu penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Jurucakap dari Polis Diraja Malaysia bercakap kepada kumpulan itu dengan memberi keyakinan bahawa mesyuarat itu semata-mata untuk membincangkan isu kesihatan awam akibat wabak tersebut.

“Kami di sini untuk membantu. Tolong jangan takut. Kami bukan di sini untuk menangkap sesiapa yang tiada dokumen,” kata jurucakap tersebut. “Kami di sini untuk bekerjasama dengan kamu untuk mencegah jangkitan Covid-19 di kalangan komuniti kamu, dan membantu mengekalkan keselamatan kamu.”

Sejak 21 Mac 2020, lebih seminggu dari tarikh pemulaan Arahan Kawalan Pergerakan seluruh negara, dalam usaha untuk menghentikan jangkitan Covid-19 di dalam negara, UNHCR dan rakan kerja NGO telah berganding bahu dengan pihak berkuasa dan pegawai kesihatan daerah untuk membuat jangkauan kepada komuniti orang pelarian di kawasan-kawasan perumahan seluruh negara tentang pencegahan dan ujian Covid-19.

Terdapat lebih kurang 180,000 orang pelarian berdaftar dengan UNHCR di Malaysia. Komuniti ini tinggal di bandar-bandar dan pekan-pekan di seluruh negara. Adalah satu cabaran untuk menyampaikan maklumat kepada populasi yang tersebar luas, terutamanya di kala kecemasan kesihatan.

“Sejak tercetusnya wabak ini, UNHCR telah berkoordinasi rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (Crisis Preparedness and Response Centre, CPRC) untuk memastikan bahawa semua orang pelarian dan pemohon suaka telah termasuk ke dalam respons Kerajaan terhadap Covid-19, dan mencegah jangkitan ke komuniti orang pelarian,” kata pegawai kesihatan awam UNHCR, Dr Susheela Balasundaram.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kumpulan bersama yang terdiri daripada UNHCR dan pegawai kesihatan daerah, serta rakan kerja NGO yakni IMARET, Muslim Relief Agency, dan MERCY Malaysia, telah menjangkau kepada komuniti orang pelarian seluruh negara.

Kumpulan bersama ini menyampaikan maklumat tentang Covid-19, membuat aturan jika ujian diperlukan bai mereka yang mempunyai symptom Covid-19, dan menasihati komuniti orang pelarian agar akur kepada arahan kawalan pergerakan Kerajaan.

Sejak peringkat awal wabak di Malaysia, kerajaan Malaysia telah mengambil keputusan penting untuk memberi ujian dan rawatan percuma buat semua warga asing yang mempunyai symptom Covid-19. Kerajaan juga telah memberi keyakinan bahawa warga asing yang tiada dokumen yang dating untuk mendapat ujian dan rawatan, tidak akan ditahan akibat kesalahan imigresen.

“Kami memuji pihak Kerajaan Malaysia atas polisinya yang merangkumi semua dalam membolehkan ujian dan rawatan percuma buat semua warga asing, termasuk orang pelarian dan pemohon suaka,” kata Dr Balasundaram.

“Polisi yang merangkumi semua dan tidak diskriminasi hanya akan memperkukuhkan respons negara terhadap Covid-19. Wabak Covid-19 jelas menunjukkan bahawa kita semua berkait, tanpa mengira siapa kita. Demi kebaikan semua, semua orang, terutamanya yang paling rentan – termasuklah orang pelarian, pemohon suaka, dan orang yang tanpa kewarganegaraan – mempunyai akses kepada perkhidmatan kesihatan.”

UNHCR telah mengambil pelbagai langkah untuk menyokong respons Kerajaan dalam menghentikan wabak ini. Ini termasuklah memastikan maklumat terkini disebarkan kepada orang pelarian dengan cepat dan dalam bahasa yang mereka fahami. UNHCR telah menubuhkan portal maklumat Refugee-Malaysia.org di mana orang pelarian, pemohon suaka, serta organisasis yang membantu mereka boleh mendapatkan maklumat tentang bantuan dan perkhidmatan.

UNHCR juga menubuhkan beberapa Hotline dalam tujuh bahasa buat orang pelarian yang mungkin tidak dapat menggunakan Hotline krisis negara, dan menyediakan juru bahasa UNHCR untuk memberi perkhidmatan alih bahasa buat orang pelarian di hospital-hospital awam.