Close sites icon close
Search form

Search for the country site.

Country profile

Country website

Akses maklumat buat orang pelarian di waktu kecemasan

Stories

Akses maklumat buat orang pelarian di waktu kecemasan

13 April 2020
Browsing the Refugee-Malaysia.org from a mobile phone

 

Kuala Lumpur –  Ceu, seorang pelarian etnik Chin dari Myanmar, adalah pengelola kumpulan orang pelarian di Malaysia bernama Chin Refugee Committee. Dia makin sibuk bertugas sejak meletusnya wabak Covid-19 di Malaysia.

“Pada masa ini terutamanya, maklumat amat penting buat komuniti orang pelarian,” kata Ceu. “Selalunya, saya akan mendapat maklumat dari UNHCR ketika bermesyuarat, atau saya akan telefon untuk bertanya maklumat yang saya perlukan. Tetapi sekarang, saya cuma perlu ke lama sesawang UNHCR.”

Ceu merujuk kepada portal maklumat yang baru dilancarkan oleh UNHCR, Agensi Pelarian PBB, yakni portal Refugee-Malaysia.org.

“Portal maklumat Refugee-Malaysia.org ini bertujuan membantu orang pelarian dan pemohon suaka agar, dengan mudahnya, mereka boleh mendapatkan maklumat tentang perlindungan dan bantuan di Malaysia,” kata Thomas Albrecht, Wakil UNHCR di Malaysia.

“Portal ini juga mungkin berguna buat individu dan organisasi masyarakat sivil yang bekerja dengan orang pelarian. Mereka dapat muat turun sumber dan maklumat yang membantu komuniti orang pelarian.”

Bagi orang pelarian seperti Ceu, ia membolehkan akses kepada maklumat pada bila-bila masa, tanpa perlu ke pejabat UNHCR atau menelefon staf UNHCR.

“Saya tengok laman itu setiap hari. Saya cari maklumat tentang Covid-19, terutamanya tentang arahan kawalan pergerakan Kerajaan. Apa-apa yang saya rasa berguna buat komuniti, saya akan muat turun dan kongsi,” kata Ceu.

Ceu bukannya satu-satunya ketua orang pelarian yang menganggap laman sesawang itu berguna. Dalam bancian yang dibuat oleh UNHCR di kalangan guru-guru di 108 pusat pelajaran komuniti orang pelarian, lebih 77% guru kerap melawati laman tersebut untuk mendapatkan maklumat. Hampir semua guru mendapati laman itu berguna, dan kebanyakan mereka akan muat turun maklumat untuk diberi kepada pelajar dan keluarga pelajar.

Fasa pertama portal maklumat Refugee-Malaysia.org ini dilancarkan awal tahun ini, dan ketika itu, hanya mengandungi maklumat asas seperti maklumat kesihatan dan Pendidikan, dan kebanyakannya dalam Bahasa Inggeris.

Tetapi, kandungan laman tersebut telah bertambah dengan mendadak dalam beberapa bulan ini, akibat penularan jangkitan Covid-19 di negara ini.

“Apabila kami melancarkan portal tersebut, kami telah terangkan kepada orang pelarian dan rakan-rakan kerja bahawa laman itu akan terus dikemaskini dan diperbaiki untuk memenuhi keperluan mereka,” kata Albrecht.

“Sejak mulanya wabak Covid-19, staf kami bekerja keras untuk memuat naik maklumat ke portal tersebut dengan pantas dan dalam bahasa yang difahami oleh orang pelarian. Ini adalah untuk kegunaan orang pelarian dan organisasi yang membantu orang pelarian, dan maklumatnya termasuklah di mana untuk mendapatkan pertolongan dan perkhidmatan.

“Sebagai langkah seterusnya, kami juga sedang berusaha mengeluarkan maklumat dalam bentuk audio dalam pelbagai bahasa bagi komuniti orang pelarian yang tidak dapat membaca.”

Portal maklumat Refugee-Malaysia.org ini mengandungi pelbagai maklumat termasuklah tentang pencegahan, rawatan, dan ujian Covid-19, nasihat tentang perintah kawalan pergerakan Kerajaan, serta senarai Hotline Covid-19 dalam Bahasa Burma, Chin, Rohingya, Tamil, Urdu, Arab, dan Somalia.

Portal maklumat ini bertujuan melengkapi usaha-usaha sedia ada dalam menghubungi komuniti orang pelarian, seperti melalui mesyuarat komuniti, telefon, dan penyebaran maklumat dalam betuk fizikal yang malangnya terbatas oleh geografi dan kos.

“Portal Refugee-Malaysia.org ini bukan bertujuan mengganti semua jenis kaedah komunikasi dengan orang pelarian, termasuk menerusi mesyuarat komuniti di mana orang pelarian boleh berhadapan dengan UNHCR untuk berbincang,” kata Albrecht.

“Tetapi, kita harus mengakui bahawa membenarkan orang pelarian mengakses sendiri maklumat bila mereka memerlukannya, akan membantu mengkasai dan memperkukuhkan komuniti tersebut. Ia mengurangkan pergantungan mereka kepada UNHCR, NGO, atau ketua-ketua komuniti untuk menerima maklumat. Ia membantu mengembalikan sedikit kuasa kawalan dalam tangan individu orang pelarian.”

Portal maklumat boleh didapati di refugee-malaysia.org